nuffnang 1

Saturday 26 February 2011

Julian Assange sedia bertarung di mahkamah



LONDON 25 Feb. - Pengasas WikiLeaks, Julian Assange berikrar beliau bersedia menghadapi pertarungan undang-undang yang berpanjangan selepas seorang hakim Britain memutuskan supaya beliau diekstradisi ke Sweden untuk menghadapi tuduhan rogol.

Pasukan peguam mewakili warga Australia itu berkata, mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hakim Howard Riddle yang menolak hujah peguam bela bahawa Assange akan menghadapi perbicaraan yang tidak adil di Sweden dan hak asasinya akan dicabuli.

Assange yang bercakap selepas perbicaraan di Mahkamah Majistret Belmarsh di sini, mengkritik sistem kehakiman Eropah yang digunakan untuk menahannya pada Disember lalu berhubung dakwaan beliau melakukan penderaan seksual terhadap dua wanita di Sweden.

"Ini semua berpunca daripada sistem Waran Tangkap Eropah yang digunakan sewenang-wenangnya.

"Sepanjang proses ini tiada pertimbangan diberikan terhadap kewajaran dakwaan terhadap saya," katanya kepada kira-kira 100 wartawan dari seluruh dunia.

Penyokong Assange di kalangan selebriti termasuk Jemima Khan dan aktivis hak asasi manusia, Bianca Jagger turut menghadiri perbicaraan itu.

Sementara itu, berpuluh-puluh penyokong yang sesetengahnya memakai pakaian berwarna oren seperti tahanan di Teluk Guantanamo menunjuk perasaan di luar mahkamah.

Assange diberi tempoh tujuh hari untuk mengemukakan rayuan dan jika beliau gagal berbuat demikian, beliau mesti diekstradisi ke Sweden dalam masa 10 hari selepas tamat tempoh rayuan.

Beliau boleh mencabar keputusan hakim itu di Mahkamah Tinggi dan seterusnya di Mahkamah Agung Britain.

Assange menggegarkan institusi diplomatik dunia dan membangkitkan kemarahan Washington pada tahun lepas apabila laman web beliau mula menyiarkan beratus-ratus ribu dokumen sulit tentera dan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS). - ( Utusan Malaysia)

No comments:

nuffnang3