nuffnang 1

Monday 21 February 2011

Iktibar rusuhan di Asia Barat




Umat Islam di negara ini wajib menjaga keamanan yang dikecapi hari ini dan mengambil iktibar daripada perbalahan mazhab serta kumpulan sesama ummah yang berlaku di beberapa negara di seluruh dunia sekarang.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, semua ini berlaku disebabkan budaya kafir-mengkafir sesama ummah dan ingin menunjukkan bahawa mereka sahaja yang benar.
Justeru, beliau berkata, semua pihak perlu memandang serius dan jangan memperlekehkan apa yang berlaku di beberapa negara seperti di Iraq, Lebanon dan terbaru di Bahrain yang membabitkan rusuhan antara mazhab Sunah dengan Syiah.
“Kita harus mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di beberapa buah negara di dunia, sekiranya ini tidak diberi perhatian akan timbul masalah dalam kalangan rakyat.
“Sememangnya agama dengan politik tidak dapat dipisahkan, tetapi agama tidak boleh digunakan untuk kepentingan politik sehingga memecahbelahkan umat Islam dan tidak mustahil apa yang berlaku di Asia Barat itu akan merebak ke negara kita jika tidak dibendung dari awal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Taklimat Keselamatan dan Isu-Isu Semasa di Pejabat Jabatan Kastam Kelantan, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Yahya Mamat dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Urus Setia Bukit Aman, Datuk Dr. Abd. Rahman Ismail.
Majlis tersebut dihadiri oleh kira-kira 250 ketua jabatan dan pegawai agensi Kerajaan Pusat dari seluruh negeri ini.
Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan berkata, negara-negara di seluruh dunia telah mengiktiraf kerajaan yang ada negara ini sebagai sebuah kerajaan yang baik kerana kejayaan mengekalkan keamanan dalam masyarakat pelbagai kaum.
“Saya telah pergi ke beberapa negara di seluruh dunia. Sebagai contoh, negara Arab mengiktiraf kita sebagai sebuah kerajaan yang baik kerana kejayaan mengekalkan keamanan dalam suasana hidup masyarakat majmuk.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh main-main dengan isu keselamatan, negara akan hancur sekiranya perkara ini tidak terus dipertahankan.
“Disebabkan itu, kita memerlukan undang-undang yang kuat kerana negara kita ini amat kompleks terdiri daripada berbilang kaum bagi memastikan keamanan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini terus berkekalan,” katanya/ // utusan malaysia 20/02/2011(dalam negeri)

No comments:

nuffnang3